Sabtu, 7 Ogos 2010

Iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Apa dasar Iktiqad puak Ahli Sunnah Wal-Jama'ah ??


Erti "Ahli Sunnah Wal-Jama'ah" iaitu orang - orang yang mengikut perjalanan Nabi kita Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan menggunakan segala hadis - hadis yang sahih dan sabit dari Nabi kita dan mereka juga mengikut perjalanan sahabat -sahabat Radhiallahu Anhum dan menggunakan segala perkataan - perkataan sahabat yang betul dan sabit yang datang dari sahabat - sahabat itu, bagaimana tersebut di dalam Kitab At Tabsir Fiddin.

Berkata Syaikhuna Al 'Allamah Al Syeikh Muhammad Zahid Al Kauthari :


"Wajiblah kita berkata bahawa orang yang selamat (annaji) daripada api Neraka, siapa yang berjalan di atas perjalanan sahabat - sahabat Radhiallahu 'Anhum dan di atas perjalanan golongan orang Islam yang terbanyak daripada umat Islam, yang mereka berpegang kepada iktiqad - iktiqad dan hukum - hukum yang sabit adanya di dalam ugama Islam yang diketahui dengan ilmu dharuri (yang nyata tiada boleh disangkal dan tiada dapat dibantah sebagai ada matahari dan ada diri kita sendiri) dan lain - lain puak (yang tiada mengikut perjalanan sahabat dan perjalanan orang - orang Islam yang terbanyak daripada umat Islam) adalah mereka sesat", (menurut suatu hadis : tiap - tiap sesat itu bertempat di api Neraka).

Hendaklah diketahui bahwa berpecah puak - puak dalam perkara iktiqad dan bercabang - cabang puak - puak itu tiada berkesudahan sehingga habis tarikh hidup manusia, maka tiadalah sayugia ditentukan sekian - sekian banyak bilangan puak - puak yang sesat itu, kerana sentiasa ada sahaja puak - puak yang mereka menimbulkan fikiran sesat itu dan fahaman yang menyeleweng (dari perjalanan sahabat dan perjalanan orang - orang Islam yang terbanyak), selagi ada hidup manusia dalam dunia ini. Di ambil dengan ringkas dari pendahuluan bagi kitab At Tabsir Fiddin.

Telah berkata puak Ahli Sunnah Wal-Jama'ah dan telah ijma' dan muafakat mereka bahawa dasar iktiqad seperti berikut:

1. Alam iaitu tiap - tiap yang lain daripada AlLah Taala itu baharu seperti bintang - bintang, matahari, bulan.  
    Langit, bumi dan isi kandungan keduanya.

2. Wajib wujud ada AlLah Taala

3. Tiada siapa yang menjadikan sesuatu melainkan AlLah jua.

4. AlLah Taala itu qadim kekal selama - lamanya.

5. AlLah Taala itu bersifat dengan sifat - sifat ilmu (ketahui), kudrat (kuasa) dan lain - lain sifat 
    kesempurnaam bagi AlLah Taala.

6. Tiada ada sesuatu serupa dengan AlLah, dan tiada ada lawan bagi AlLah dan tiada ada sebaya bagi AlLah Taala.

7. Tiadalah AlLah Taala bertempat di mana - mana tempat.

8. Tiadalah ada sesuatu yang baharu ada pada zat AlLah Taala.

9. AlLah Taala itu tiada mengambil sesuatu ruangan yang lapang, tiadalah AlLah Taala ada pada suatu 
    pihak,dan tiadalah AlLah Taala dikatakan bergerak, berpindah tempat, jahil, bodoh, bohong, dan tiada 
    ada sesuatu pun sifat kekurangan boleh disandarkan kepada AlLah Taala.

10. AlLah Taala itu boleh dilihat oleh orang - orang mukminin di akhirat kelak.

11. Apa yang AlLah Taala berkehendakkan, nescaya ia akan berlaku, dan apa yang AlLah Taala tiada 
      berkehendak maka tiadalah ia akan berlaku.

12. AlLah Taala itu terkaya dari tiap - tiap sesuatu dan AlLah Taala tiada berhajat pada sesuatu.

13. Tiada wajib di atas AlLah Taala membuat atau meninggalkan sesuatu, kiranya AlLah Taala beri pahala 
      kepada seseorang maka itu hanya dengan limpah kurnia kelebihan AlLah, dan kiranya AlLah Taala   
      seksa seseoerang itu maka itu hanya berlaku dengan keadilan AlLah jua.

14. AlLah Taala membuat sesuatu tiada dengan ada tujuan mendapatkan faedah dari sesuatu itu.

15. Tiada sesiapa yang menjadi hakim memerintah AlLah Taala.

16. Tiadalah boleh dikatakan pada apa yang dibuat atau dihukumkan AlLah Taala itu suatu perkara yang 
      zalim dan aniaya dan menyeleweng.

17. AlLah Taala itu tiada bersuku - suku dan tiada ada baginya had, dan tiada ada baginya batasan dan 
      perenggan dan sempadan.

18. AlLah Taala berkuasa pada menambah bilangan makhlukNya dan AlLah Taala berkuasa pada 
      mengurangkan bilangan makhluk itu.

19. Jisim manusia dan makhluk akan
  • dihidupkan semula pada hari qiamat adalah benar dan betul.
  • Begitu juga benar bahawa balasan baik atau jahat di atas perbuatan makhluk, dan
  • kira-mengira di atas perbuatan makhluk,
  • titian Sirat yang dilintangkan di atas api Neraka,
  • neraca timbangan bagi makluk,
  • Syurga telah ada sedia dan Neraka itu telah ada sedia dijadikan,
  • kekal ahli Syurga di dalam Syurga selamanya dan kekal ahli Neraka dalam Neraka selamanya,
semuanya itu benar dan betul dan hak.

20. Harus dan boleh bagi AlLah Taala mengampunkan kesalahan orang yang berbuat dosa.

21. Rayuan syafaat minta ampunkan kesalahan kepada AlLah Taala itu adalah rayuan itu hak dan betul dan
      benar.

22. AlLah Taala telah menghantarkan Rasul - rasul dengan disokong oleh berbagai - bagai mukjizat itu, dari
      semenjak Nabi Adam Alaihis Salam sehingga Nabi kita Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam
      kesudahan rasul - rasul tiada ada nabi atau rasul lepas dan sesudah Nabi kita Sayidina Muhammad
      Sallallahu Alaihi Wasallam, semuanya itu betul, benar dan hak.

23. Sahabat - sahabat yang mengikat taat setia kepada RasululLah Sallallahu Alaihi Wasallam di bawah
      pokok yang dinamakan Bai'atul Redzwan itu dan sahabat - sahabat yang ada di dalam pasukan
      peperangan di tempat yang dinamakan Badar itu semuanya mereka dari golongan ahli Syurga.

24. Raja yang memerintah umat Islam wajib dilantik oleh orang - orang Islam yang berpengaruh yang
      dinamakan mereka Ahlul Hilli Wal Aqdi.

25. Pemerintah yang benar, betul dan hak selepas wafat Nabi kita Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi
     Wasallam ialah Khalifah Sayidina Abu Bakar, kemudian Sayidina Umar, kemudian Sayidina Othman
     kemudian Sayidina Ali Radhiallahu 'Anhum Ajmain.

26. Khalifah yang lebih afdal dan lebih utama mengikut tertib dan susunan di atas ini iaitu
  • Khalifah Sayidina Abu Bakar, kemudian
  • Sayidina Umar, kemudian
  • Sayidina Othman kemudian
  • Sayidina Ali Radhiallahu 'Anhum Ajmain.
27. Kita Ahli Sunnah Wal-Jama'ah tiada menghukum kafir ke atas seseorang yang sembahyang menghadap
      Kiblat Kaabah di Mekah Al Mukarramah, melainkan kiranya orang itu menafikan ada tuhan yang
      menjadikan alam ini yang bersifat Maha Kuasa dan bersifat Maha Mengetahui, atau kiranya dia
      menyekutukan sesuatu dengan AlLah (syirik) atau kiranya dia ingkarkan seseorang Nabi daripada Nabi -
     nabi AlLah Taala yang telah nyata kenabiannya atau ingkarkan sesuatu yang telah datang daripada
     Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang telah diketahui dengan ilmu dan ketahui yang dharuri, atau dia
     ingkarkan sesuatu perkara yang ijmak dan sekata ulama Islam pada seperti dia ingkarkan perkara yang
     telah sabit ijmak ulama di atas haram perkara itu.

Ini adalah iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jama'ah dan pegangan kepercayaan mereka Adapun puak - puak yang lain dari tersebut adalah bida'ah dan tiada kufur, maka iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jama'ah itu seperti yang disebutkan di atas ini adalah iktiqad yang selamat dan sejahtera dan sentosa dari api Neraka. Adapun iktiqad yang lain dari tersebut adalah bida'ah dan tiada kufur dan tiap - tiap bida'ah itu sesat dan tiap - tiap yang sesat itu adalah balasannya Neraka.

Berkata Al Imam Tajuddin Assubki dalam Mu'aidunni'am Wal Mubidunniqam :
  • Orang - orang mazhab Hanafi,
  • orang - orang mazhab Asy Syafi'e dan
  • orang -orang mazhab Maleki dan
  • orang -orang yang baik dari mazhab Hanbali
Alhamdulillah dalam perkara iktiqad semuanya bersatu, semuanya mereka berjalan di atas fikiran Ahli Sunnah Wal-Jama'ah, semuanya berugama dan menyembah AlLah Taala menurut Imam Ahli Sunnah iaitu Al Imam Abu Al Hassan Al Asy'ari Rahimahullah Taala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan