Sabtu, 7 Ogos 2010

Penerangan mengenai pengertian 'adum' bagi makhluk dan pergertian 'adum' yang dibangsakan pada 'Sifat Salbiah' bagi Ketuhanan

Alhamdulillah..bermula segala puji-pujian yang empat itu selayaknya hanya tertentu buat Allah Subhanahuwa Taala, Tuhan Yang Sebenar-benar Maujud Yang Tiada ada sertaNya itu sesuatu; Tuhan yang telah mengangkatkan tabir kegelapan malam kepada cahaya benderang yang membimbing hamba-hamba ke arah jalan Yang Haq, Tuhan Yang Mengurniakan kelebihan kepada orang-orang yang berilmu beberapa darjat yang tinggi lagi mulia.


Saudara telah mengemukakan satu kemusykilan mengenai sifat 'adum bagi kehambaan dan sifat adum yang dibangsakan kepada 'Sifat Salbiah' bagi Ketuhanan kepada suluk, sedangkan suluk bukanlah ahlinya yang dapat memberi penjelasan yang sebaik-baiknya mengenai hal tersebut. Penerangan di bawah adalah sebagai panduan semata-mata dan untuk mendapat penjelasan yang lebih lanjut, bahasan yang lebih mendalam, eloklah dirujuk kepada guru-guru yang ahli dalam bidang ini.

Ketahuilah oleh mu wahai saudaraku, tersebut dalam Kitab Usuluddin(Tauhid) "Ad-Darus-Sammi" adalah Iman manusia yang mukmin itu terdiri daripada beberapa pangkat atau darjat; Ada kalanya dengan taklid dan adakalanya Arif.

Maka orang yang taklid itu ialah mereka yang beri'tiqad dengan yang jazam(putus) lagi muafakat dengan yang sebenarnya yang keluar dari hatinya lagi membenarkan mereka sesuatu perkara yang dikhabarkan dengan ketiadaan dalil dan burhan. Dengan lain perkataan, mereka adalah golongan awam yang "Pak Turut".

Maka yang Arif itu ada kalanya;

1. I'tiqadnya itu jazam lagi muafakat dengan yang sebenar(haq) pada Allah serta dengan dalil dan burhan. Inilah kebanyakan ahli zhohir. Dan adakalanya;

2. I'tiqadnya itu jazam lagi Muthobik dengan Haq serta Mustaqir dengan didapatinya dengan Wujdan dengan ketiadaan berkehendak kepada dalil dan burhan. Malah Allahlah yang menjadi Madlul kepada kewujudan alam ini. Maka inilah Iman Ahli Khowas yang terdiri dari kalangan Ulama Muhaqiqin, Ahli sufiah dan Wali-Wali Allah. Dan adakalannya;

3. Imannya itu sebab syuhud akan tajalli TuhanNya ata mata hatinya. Maka jadi hapuslah padanya wujud yang lain. dan dilihat(diyakini) Allah jua yang maujud tiada ada sertaNya seperti yang disebutkan pada Hadis Rasulullah saw. yang bermaksud;

"Adalah Allah maujud dan tiada ada sertaNya itu sesuatu dan iaitu sekarang seperti barang yang ada dahulu atasNya."

Inilah sehingga-sehingga pangkat yang di atas martabat Iman Khowasul-Khowas.

Keimanan pada golongan Arifbillah yang terakhir inilah jawapan kepada persoalan saudara tentang 'Adum bagi hamba. Inilah adalah kerana dari segi pandangan hakikat, sesuatu selain Allah atau sesuatu yang masuk di bawah kalimah "KUN" atau sesuatu yang dijadikan(hamba), sebenarnya mereka adalah a'dum atau tidak wujud. Jika ada panggilan "wujud" pun pada mereka sekali pun, itu adalah sebagai menyatakan asar(bekas) akan kewujudan Allah yang Mutlak. Wujud hamba adalah Wujud yang Mazaji (pinjaman), Wujud yang 'Aridi(baru), Wujud yang Muqayad(berkait dengan Wujud Allah Yang Zatti). Tidaklah dapat dikatakan sesuatu itu memiliki hakikat wujud malah ia adalah adum semata-mata sekiranya;

  • Wujudnya asal dari 'adum, kemudian ada; kemudian lagi akan tiada
  • Wujudnya yang dijadikan atau diciptakan oleh Yang Menjadikan
  • Wujudnya yang melazimi sifat-sifat yang baru seperti jisim dan aradh.
  • Wujud yang berada dalam taraf "Mumkinal Wujud" (boleh jadi ada atau boleh jadi 'adum)
Dengan itu jelaslah bahawa segala sesuatu selain daripada Allah adalah 'adum semata-mata. Inilah hakikat wujud bagi hamba yang mana ianya 'adum apabila dihadapkan dengan kewujudan Allah Yang Maha Esa.

Berkaitan dengan 'adum bagi sifat "Salbiah" bagi Ketuhanan, kita perlu mengupas bicaranya mengikut pandangan atau pegangan golongan Arif yang pertama seperti yang telah disentuh di atas. Golongan ini adalah kaum Mutakallimun yang berpegang kepada kajian mereka tentang Ketuhanan ini bersandarkan kepada nas dalil-dalil (Naqli dan Aqli) dan burhan dengan menggunakan ilmu-ilmu alat yang lain. Untuk itu, dalam memperkatakan sesuatu, mengenai sifat-sifat yang wajib bagi Allah, dalam usaha untuk mentahqiqkan hujah-hujah mereka mengenai sesuatu sifat, banyaklah istilah-istilah Ilmu Kalam yang digunakan untuk menunjukkan, mengkelaskan atau mengkategorikan sifat-sifat Allah dengan tujuan untuk mudah difahami oleh orang lain di samping untuk mengelakkan daripada kekeliruan-kekeliruan yang mungkin dipegangi oleh seseorang.

Sesungguhnya sifat-sifat Allah itu tiada terhingga banyaknya dengan KamalatNnya. Sifat-sifat Yang Wajib bagi Allah yang "Wajib" ditafsili oleh setiap mukallaf ialah sebanyak 20 sifat. Dibahagikan 20 sifat ini kepada empat bahagian iaitu;

  • Sifat Nafsiah,
  • Sifat Salbiah,
  • Sifat Maani dan
  • Sifat Maknuwiyyah.
Kita fokuskan kepada bahasan Sifat Salbiah sebagai menjawab persoalan saudara.

Adapun makna Sifat Salbiah ialah "ibarat" (sekadar ibarat sahaja, bukan ada apa-apa) daripada menafikan sesuatu yang tidak patut atau tidak layak bagi Haq Taala. Dan "ibarat" daripada itu tiada ia maujud pada zat dan tiada ia maujud pada memberi bekas pada khorij ini(kenyataan atau bekasNya); hanya ia maujud pada "khabar"jua kerana Sifat Salbiah ini hanyalah sebagai mengkhabarkan kelakuan zat jua.

Dengan lain perkataan sifat Salbiah ini hanyalah semata-mata sebagai ibarat atau perkhabaran untuk mentafsirkan hal zat yang Wajibal Wujud. Lima sifat Allah ini adalah sifat-sifat yang dibilang untuk memperihalkan hal atau kelakuan wujud(zat) Allah. Seperti kita katakan;

Zat itu adalah zat yang qidam sebagai "ibarat" untuk menafikan yang Allah itu ada permulaan.Tiada ada mendahului Allah oleh 'adam itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada).

Zat itu adalah zat yang baqa sebagai "ibarat" untuk menafikan yang Allah itu ada kesudahan atau binasa. Tiada memutuskan "ada"Nya Allah oleh 'adam itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada). .

Zat itu adalah zat yang Mukholafatahu lilhawadis sebagai "ibarat" untuk menafikan yang Allah itu ada persamaan dengan sesuatu yang baru. Ketiadaan menyamai Allah Taala dengan sesuatu yang baru itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada). .

Zat itu adalah zat yang Qiyamuhu Binafsih sebagai "ibarat" untuk menafikan Ada(Wujud)nya Allah itu "dengan" (berhajat kepada) sesuatu yang lain. Tiada berhajat Allah kepada zat yang lain, tiada berhajat kepada fail(penjadi) dan tiada berhajat kepada mukhosis (sesuatu yang menolak kekuranganNya) itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada). .

Zat itu adalah zat yang Wahdaniah sebagai ibarat untuk menafikan yang Allah itu ada dua(bersekutu). Keesaan pada zat, sifat dan afaal itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada). .

Dengan itu, Siifat Salbiah ini dikatakan juga sebagai sifat 'Adami atau sifat yang dibangsakan(diistilahkan) sebagai sifat yang tiada('adum) kerana ianya tidak maujud pada zihin dan tidak maujud pada khorij.

Adapun makna tidak maujud pada zihin ialah "tidak maujud sifat pada zat"

Adapun makna tidak maujud pada khorij ialah "tidak memberi bekas sifat kepada wujud alam ini"

Berbeza dengan sifat Maani yang tujuh itu. Sifat Maani adalah sifat yang "Wujudi". Sifat Maani adalah maujud pada zihin dan maujud pada khorij kerana sifat maani itu nyata pada zat dalam ta'kulan kita dan nyata bekasnya pada kewujudan alam ini yang dijadikan dengan Qudrat, Iradat, Ilmu, dan HayatNya.

Dengan sebab itulah, jika ditinjau dari segi kedudukan Martabat Ketuhanan, Sifat Nafsiah dan Sifat Salbiah itu tergolong ke dalam Martabat Zat manakala Sifat Maani ini tergolong dalam Martabat Sifat.dan Sifat Maknuwiyyah dalam Martabat Asma.

Semoga terjawab kemusykilan saudara. Selebihnya baiklah dirujuk kepada guru-guru yang ahli dalam bidang Ilmu Tauhid ini agar saudara mendapat penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai perkara tersebut.

Allahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan